Adakalanya kita tidak sedar terdapat beberapa tempat atau lokasi serta tabiat yang mampu menyumbang kepada penambahan berat. Contohnya ketika menonton filem di pawagam dimana fokus kita adalah kepada skrin dan tanpa sedar, kita berterusan mengunyah bertih jagung dan minuman sehingga ia boleh membuatkan berat badan meningkat satu atau dua kilogram.
Mari kita lihat beberapa tempat dan tabiat yang menyumbang kepada penambahan berat badan anda tanpa disedari dan diharapkan anda boleh mengawalnya pada masa akan datang.
DALAM KENDERAAN
Ya, ini adalah salah satu tempat kegemaran ramai orang terutama sekali ketika terperangkap dalam kesesakan lalu lintas lebih-lebih lagi ketika hendak ke pejabat atau pulang. Makanan ringan atau snek menjadi pilihan untuk dikunyah sebagai pelapik perut menahan lapar, malah ada yang menyimpan 'stok makanan' di dalam kenderaan mereka. Tabiat ini bukan sahaja tidak bagus dan boleh menambah berat badan tanpa disedari, malah kenderaan anda juga akan menjadi kotor dengan bungkusan dan habuk makanan.
DEPAN TELEVISYEN
Rasanya hampir semua lakukan ini! Ramai yang berpendapat anda akan cepat bosan dan lapar sekiranya menonton televisyen tanpa mengunyah sesuatu. Malah ada yang merasakan saat bersama keluarga dan menikmati filem kegemarah di kaca televisyen lebih menarik dengan hidangan makanan menarik seperti piza, keropok dan sebagainya. Tak salah untuk mengunyah sesuatu, tapi pastikan anda mengawalnya agar ia tidak keterlaluan dan mengambil makanan sihat.
KETIKA MEMBUAT KERJA
Mengunyah sesuatu ketika menyiapkan tugasan adalah satu perkara yang biasa dilakukan oleh mereka yang ingin mengelak rasa mengantuk. Keropok, coklat dan makanan kurang khasiat seringkali menjadi pilihan mereka. Bagi mengelak perkara ini berlaku, apa kata kurangkan pengambilan makanan ringan dan berehat seketika sebelum sambung menyiapkan tugasan kembali.
ATAS SOFA
Siapa yang tidak suka melepak di atas sofa yang empuk sambil melakukan aktiviti seperti menonton televisyen, bermain komputer atau membaca sambil berbaring? Keempukan dan kelembutan sofa pasti membuatkan anda lebih gemar untuk makan sambil melakukan aktiviti tersebut. Ianya tidak bagus kerana sisa makanan akan terkumpul dengan lebih mudah dan ia akan membuatkan berat badan anda meningkat dengan cepat.
Kesimpulannya anda harus bijak mengawal nafsu makan atau mengamalkan pemakanan sihat dan berkhasiat serta bersenam. Tak salah untuk mengunyah ketika melakukan sesuatu aktiviti, tapi pastikan anda melakukan sesuatu bagi mengelak berat badan anda meningkat dengan cepat.
No comments:
Post a Comment